Khamis, 25 Julai 2013

Nuzul Quran 2013


Alhamdulillah, kita telah berpuasa 16 hari, pada malam ini sampailah saatnya pada malam 17 Ramadan, tarikh ini dipanggil Nuzul al-Quran iaitu masa al-Quran diturunkan kepada Junjungan Besar Rasulullah SAW . 
Bersyukur ke hadrat Illahi kerana dapat menyambut hari Nuzul Quran bersama keluarga tahfiz.
Alhamdulillah, pada tanggal 25. Julai kami warga Maahad Tahfiz melaksanakan program Khatam Quran, Ceramah, Zikir Illahi bagi menghidupkan hati yang gelap ini. Sempena hari mulia Nuzul Quran tahun 2013. Alhamdulillah, aku bersyukur kerana terpilih untuk melaksankan dan mengimarahkan lagi Nuzul Quran ini dengan perkara-perkara yang berfaedah. Mengikut peredaran zaman sekarang, pada zahiriahnya, tidak banyak orang yang dapat mengingati hari mulia ini. Syukur ya Rob, kerana hambaMu dapat memenuhi hari mulia ini dengan ayat-ayat suci Al-QuranMu. Ini lah kali pertama aku menyambut hari Nuzul Quran dengan sambutan yang hebat seperti hadir ke majlis-majlis kenduri, yang mana tempat itu di penuhi dengan hamba-hamba Sang Pencipta yang bertemankan Al-Quran dan tasbih untuk mengingati Allah Rab Al-Alamin. Insya'Allah. 



Foto 1 semasa sambutan Nuzul Quran di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat. 



Foto 2 semasa sambutan Nuzul Quran di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat.


# Tambahan untuk pengetahuan semua : 

Peristiwa Nuzul al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW. hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW.

Ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M. Perkataan “Nuzul” bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW. melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.

Untuk pengetahuan kalian pada awalnya Allah SWT menempatkan keseluruhan Al-Quran di Luh Mahfuz, iaitu satu tempat yang amat mulia dan suci. Ketika ini, Allah SWT  sejak awal lagi menunjukkan kemutlakan kebijaksanaan-Nya dengan menentukan segala apa yang tercatat disitu akan benar-benar berlaku. Keyakinan akan kemuliaan al-Quran di Luh Mahfuz dinyatakan begitu jelas sekali dalam firmanNya yang bermaksud :
"Bahkan (yang didustakan itu) ialah al-Quran yang mulia, yang (tersimpan) dalam (tempat) yang terjaga (Luh Mahfuz)" (Surah al-Buruj ayat 21-22)

Langkah kedua ialah, ia diturunkan secara sekaligus dari Luh Mahfuz ke Baitul
Izzah yang terletak di langit dunia pada malam yang penuh dengan kemuliaan, iaitu Malam Kemuliaan (lailatul qadr) di bulan Ramadan. Hal ini tercatat dalam firmanNya yang bermaksud : " Bulan Ramadan  adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu, dan pembeza (antara yang benar dan yang batil).." (Surah al-Baqarah ayat 185)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Sesungguhnya, Kami telah menurunkannya (al-Quran)  pada malam kemulian (lailatul qadr). Tahukah kamu apakah itu malam kemuliaan (lailatul qadr) itu?.  Malam kemuliaan itu (lailatul qadar)   lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahtera (malam itu) sampai terbit fajar." (Surah al-Qadr ayat 1-5)

Kemudian al-Quran itu diturunkan beransur-ansur kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril. Peristiwa itu bermula dengan menjelmanya Malaikat Jibril dihadapan Rasulullah SAW di Gua Hira’, tepatnya ketika baginda berusia 40 tahun.

Ibnu Abbas menyatakan: "Al-Quran itu diturunkan pada malam kemuliaan (lailatul qadr) dalam  bulan Ramadan ke langit dunia secara sekaligus, kemudian diturunkan secara beransur-ansur."

Lailatul qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Lailatul qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitannya malam al-qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain .

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan  berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan  bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah  SAW ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam kemuliaan (lailatul qadr ) pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.




center